Translate

19 August 2016

Walaupun Musa Hitam Tidak Setia kepada Dr. Mahathir, Dia masih dilantik sebagai wakil khas ke United Nations


Mahathir 'Frankly Speaking' Kata Musa Hitam Tak Pernah Setia, Gelar Bekas TPM Pengkhianat

MALAYSIAN DIGEST


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa beliau tidak senang apabila Tun Musa Hitam menyatakan hasrat kepadanya untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, suatu masa dahulu.

Menurut Mahathir, Musa memintanya untuk menyatakan sokongan secara terbuka bagi jawatan yang turut ditandingi Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah pada ketika itu.

"Musa jumpa saya untuk mendapatkan sokongan pertandingannya. Saya bersedia bersumpah dengan Quran bahawa dia ada jumpa saya.

"Saya tidak mahu sokongnya secara terbuka kerana saya tidak suka dengan idea saya akan bekerjasama dengan Tengku Razaleigh sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri sekiranya Musa kalah," katanya di blog chedet.cc.

Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu juga mendakwa 'tidak ingat' mengarahkan Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid berkempen bagi pihaknya mendokong pertandingna Musa.

"Tetapi saya tidak ingat AIDS (Anwar Ibrahim, Daim, Sanusi) cuba menyingkirkan Musa apabila dia menjadi Timbalan Presiden," katanya mengulas dakwaan Musa terhadap tiga pemimpin berkenaan.

Jelas Mahathir, dakwaan yang diterbitkan dalam buku terbaru Musa bertajuk 'Frankly Speaking' bertujuan untuk menyalahkannya diatas segala yang berlaku dalam negara dan UMNO sekitar 30 hingga 40 tahun lalu.

"Buku "Frankly Speaking" oleh Musa seronok untuk dibaca. Berterus terang (speaking frankly) tidak bermaksud bercakap benar," katanya.

"... Secara amnya Musa tidak menyalahkan dirinya diatas apa-apa perkara. Beliau suci seperti bayi baru lahir. Itu sebabnya dia sangat popular," kata Mahathir sinis.

Tambahnya lagi, selepas Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri dan membawa diri ke United Kingdom, sebuah delegasi terpaksa dihantar untuk memujuknya pulang.

"Dia (Musa) bersetuju untuk pulang sekadar sebagai Timbalan Presiden. Saya tiada pilihan lain untuk melantik Che Ghafar (Baba) sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Musa jelas langsung tidak setia kepada saya. Tetapi saya terima keputusannya untuk kembali sebagai Timbalan Presiden sahaja. Kemudian beliau menunjukkan pengkhianatannya yang lebih besar.

"Dia ke Davos di Switzerland untuk bertemu Tengku Razaleigh, musuh ketatnya. Tengku Razaleigh dipujuk untuk bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti seterusnya," katanya lagi.

Pertembungan antara Mahathir dan Tengku Razaleigh pada 1987 itu kemudiannya menjadi pencetus kepada perpecahan UMNO dan penubuhan UMNO baru (proksi Dr Mahathir) dan Semangat 46 (proksi Tengku Razaleigh), setahun kemudian.

"Sungguhpun semua ini berlaku, saya tidak mengenakan tindakan terhadapnya. Bila dia (Musa) tidak menyertai Semangat 46 Tengku Razaleigh, saya melantik dia sebagai wakil khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkedudukan menteri.

"Adakah ini memperlihatkan saya sebagai individu yang tidak boleh bertolak ansur dan pilih kasih seperti didakwa Musa," ujarnya.






- Malaysian Digest

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED