SETELAH lama mengimpikan untuk mengadakan konsert sendiri, penyanyi Azharina Azhar mengakui teruja kerana hasratnya itu akan menjadi kenyataan hujung bulan ini.

Juara Gegar Vaganza 3 ini buat pertama kalinya bakal tampil dengan sebuah persembahan istimewa, Azharina Azhar Live At Hard Rock Café Kuala Lumpur, 26 Mac ini.

“Sepanjang menyanyi lebih 15 tahun lalu, inilah kali pertama saya  mengadakan konsert sendiri untuk peminat yang banyak menyokong kerjaya saya.

“Peluang ini umpama bulan jatuh ke riba dan saya akan gunakan sebaik mungkin agar menjadi kenangan terindah buat mereka,” ujarnya teruja.

Bakal menyanyikan 14 lagu menerusi album terdahulu termasuk lagu Bahasa Inggeris pilihannya, Azharina mengharapkan dapat memberikan yang terbaik.

“Walaupun sudah lama  bergelar penyanyi, namun jujurnya saya sangat gementar kerana ramai meletakkan jangkaan yang begitu tinggi untuk persembahan ini.

“Apa yang boleh dikatakan, pemilihan lagu-lagu bertepatan dengan saya selain mengambil kira lagu permintaan peminat,” katanya yang kini giat melakukan latihan. 

Atara lagu yang tersenarai dalam persembahan istimewa itu ialah Elergi Sepi, Sekian Terima Kasih, Seandainya, Cheap Trills, Proud Mary, River Deep Mountain High, dan  Mama Aku Ingin Pulang . 

Di celah kesibukan itu juga, bekas Juara Bintang RTM 2001 kini dalam proses menyiapkan album terbarunya. 
“Alhamdulillah Januari lalu saya selesai merakamkan tujuh lagu baru bersama komposer Julfekar dan kini sedang menunggu waktu sesuai untuk rakaman beberapa buah lagu lagi," katanya yang popular dengan single Sekian, Terima Kasih.

Azharina yang mahu tampil dengan sesuatu lebih segar khas buat peminat membuat keputusan bersama komposer menghidangkan lagu terbaru biarpun sebelum ini sudah mempunyai 15 lagu termasuk single.

Penyanyi ini cukup yakin untuk meneruskan penghasilan album biarpun dalam keadaan yang tidak menentu namun mengakui perlu bijak mencatur lagu supaya lebih berkualiti dan dapat diterima peminat.

Tambah anak angkat
Penyanyi kelahiran Sabah ini turut berkongsi kehadiran ‘orang baru’ dalam hidupnya, Rizkie Azharin Azhar Abdullah yang kini menjadi kegembiraan baru mereka sekeluarga.

Rizkie yang dilahirkan 5 Mac lalu dianggap sebagai rezeki tidak terjangka pemberian-Nya dan dia akan menjaganya dengan penuh kasih sayang.

"Kehadiran anak ini sebagai amanah  untuk saya jaga sebaiknya,” katanya yang sudah ada seorang anak angkat berusia dua tahun, Rahmat Azharin Aziz.

Menurutnya lagi, Rizkie diserahkan ibu kandungnya dengan harapan dia dapat membesarkan bayi itu seperti anaknya sendiri.

“Ketika kelahirannya, saya ada bersama, Insya-ALLAH saya akan jaganya dengan penuh kasih sayang sebagai mana saya membesarkan Rahmat,” katanya.

Mengakui rutin hariannya kini begitu padat antara seni dan anak-anak tapi Azharina bijak membahagikan masa tanpa mengabaikan salah satunya.

"Saya percaya bila ikhlas melakukan sesuatu, insya-ALLAH semuanya akan dipermudahkan.
“Jika saya sibuk dengan kerjaya seni, anak-anak akan dijaga pengasuh yang saya percayai.

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya serba sempurna dan semoga kami sekeluarga baik-baik sahaja,” ujarnya yang juga aktif dalam bidang perniagaan.

Sinar Harian