Translate

18 April 2018

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan yang kononnya badan itu enggan bertemu dengan PKR, selepas Tun M tunjukkan surat sebagai bukti

SPR nafi enggan bincang isu lambang PKR

Bernama | April 17, 2018



SPR berkata wajar makluman dan hebahan secara rasmi dikeluarkan kerana ia tidak melibatkan satu parti sahaja.


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan pihak tertentu yang kononnya badan itu enggan bertemu dengan mereka bagi membincangkan tentang penggunaan lambang parti pada pilihan raya umum kerana terlalu sibuk.

SPR dalam kenyataan hari ini menjelaskan, pejabat penasihat undang-undang suruhanjaya itu menerima surat secara serahan tangan oleh wakil pihak berkenaan pada Khamis lepas dan bercadang untuk mengadakan pertemuaan pada pukul 10.00 pagi semalam.

Bagaimanapun, katanya pada hari yang sama, maklum balas segera diberikan pejabat tersebut bagi menjelaskan tarikh yang dicadangkan itu tidak dapat dipenuhi kerana perlu menghadiri perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang.



“Dalam maklum balas tersebut juga pihak pejabat penasihat undang-undang turut memaklumkan bahawa perkara-perkara yang ingin dibincangkan itu sedang dalam proses untuk dimuktamadkan oleh SPR dan akan dimaklumkan kepada semua pihak yang berkepentingan khususnya parti-parti politik dalam masa terdekat dan berharap pihak terbabit menunggu pemakluman rasmi oleh SPR,” katanya.

Menjelas lanjut, SPR berkata pendekatan rasional itu diambil kerana pejabat penasihat undang-undang berpendapat isu yang ditimbulkan oleh parti berkenaan juga melibatkan parti-parti lain.

SPR berkata atas dasar untuk memberi penerangan dan penjelasan yang tidak hanya tertumpu kepada parti tersebut sahaja, adalah wajar makluman dan hebahan secara rasmi dikeluarkan oleh SPR dan bukan oleh pejabat penasihat undang-undang.

“Dalam menilai keseluruhan isu-isu yang timbul adalah wajar pihak-pihak terbabit memberi ruang kepada SPR untuk mencapai satu keputusan yang tepat dan terbaik demi kepentingan semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir dilaporkan mendakwa SPR enggan bertemu dengan gabungan pembangkang itu bagi menjelaskan berkaitan penggunaan lambang PKR pada PRU.

Menurut Dr Mahathir, surat balas SPR kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution menyatakan suruhanjaya terpaksa menolak permintaan untuk mengadakan perjumpaan kerana sibuk dengan beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED